suria

Dua Warga Indonesia, Pemandu Bas Dituduh Simpan 247 Burung Murai Batu

JOHOR BAHRU: Dua lelaki rakyat Indonesia dan seorang pemandu bas ekspres rakyat tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan menyimpan 247 ekor burung murai batu di Kulai, Selasa lepas.

Aat Yudianto, 49, dan Ernawan Hadianto, 25, kemudian masing-masing dijatuhi denda RM30,000 oleh Hakim Kamarudin Kamsun selepas mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu manakala pemandu bas ekspres, Yusof Misoun, 61, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Kamarudin turut memerintahkan Aat Yudianto dan Ernawan Hadianto dipenjara 12 bulan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua mereka secara bersama-sama didakwa menyimpan 214 ekor burung murai batu (Copsychus Malabaricus) yang merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit di bahagian bawah tempat letak barang di dalam bas itu di KM32.8 arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Hentian Kulai, kira-kira 6.10 pagi, 14 Mac lepas.

Kesalahan terbabit didakwa mengikut Seksyen 60 (2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kesemua mereka secara bersama-sama didakwa menyimpan tiga ekor burung murai batu yang tidak matang dan 30 ekor burung murai batu betina, juga di alamat, masa dan tempat yang sama.

Kesalahan terbabit didakwa mengikut Seksyen 61 dan Seksyen 62 akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan pertama, Kamarudin menetapkan kedua-dua lelaki rakyat Indonesia itu dijatuhi denda RM20,000 seorang dan lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda manakala pertuduhan kedua dan ketiga, masing-masing dijatuhi denda RM5,000 seorang dan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, Peguam Muhammad Ashraf Mohd Diah dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan denda minimum terhadap Aat Yudianto yang berasal dari Cilacap dan Ernawan Hadianto, berasal dari Jakarta.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Shamsul Hakim Ahmad, bagaimanapun, memohon mahkamah menetapkan denda maksimum dengan alasan kes tersebut merupakan kesalahan serius kerana melibatkan hidupan liar yang dilindungi dan supaya menjadi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

Sementara itu, peguam Mohd Tarmeze Mohd Taib yang mewakili Yusof pula memohon mahkamah mengurangkan jaminan memandangkan pemandu bas yang memiliki seorang isteri dan tiga anak termasuk seorang anak kurang upaya (OKU) itu dikatakan tidak kena mengena secara langsung dalam kes tersebut.

Mahkamah membenarkan Yusof yang berasal dari Air Hitam, Muar dikenakan jaminan tanpa cagaran (jaminan mulut) RM5,000 dan menetapkan 6 April depan untuk sebutan semula kes itu.-- Bernama

murai batu, Kulai, Aat Yudianto

Artikel Lain