PETALING JAYA: Beberapa jam selepas pihak polis menolak permohonan permit debat antara Datuk Seri Nazri Aziz dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 25 Mac ini, penganjur memutuskan untuk meneruskannya di lokasi baharu. Jika sebelum ini dialog yang mendapat perhatian ramai itu dirancang diadakan di dewan MRSM Kuala Kangsar, kini ia bakal berlangsung di Dewan Karangkraf, Shah Alam pada 7 April ini. Kumpulan Media Karangkraf adalah penganjur debat melibatkan pengerusi PPBM dengan menteri pelancongan dan kebudayaan itu. Pengasas Kumpulan Karangkraf , Datuk Hussamuddin Yaacob mengesahkan perkara tersebut menerusi laman Twitter miliknya pada Selasa malam. Menurutnya, program tersebut akan berlangsung pukul 9.30 malam, 7 April depan. "Wacana/dialog Mahathir/Nazri akan diadakan di Dewan Karangkaraf, Shah Alam jam 9.30mlm, Jumaat 7hb April, 2017. "Sinar TV akan siar live (langsung). Rasmi," jelas beliau melalui Twitternya. Sebelum ini, polis tidak meluluskan permohonan permit untuk debat itu dan menganggap penolakan itu sebagai langkah terbaik untuk kepentingan awam. Keputusan polis turut mendapat kritikan Nazri yang bertegas untuk meneruskan program itu.