suria

Hina PM: Bekas Ketua DAP Bahagian Direman Empat Hari

KULAI: Bekas Ketua DAP Bahagian Teluk Intan, Hew Kuan Yau direman empat hari mulai Selasa bagi membantu siasatan kes menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman sosial.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan reman Hew bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dijalankan.

Sebelum itu Kuan Yau, 46, yang turut dikenali dengan gelaran 'Superman' tiba di Mahkamah Majisret di sini pada 8.20 pagi dengan memakai baju lokap berwarna ungu.

Beliau ditemani peguamnya, Chan Kheng Fai serta beberapa lagi anggota DAP termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Wong Shu Qi; ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung; Adun Pengkalan Rinting, Cheo Yee How dan ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong.

Kuan Yau ditahan polis di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang kira-kira 1 tengah hari semalam susulan satu laporan polis yang dibuat ke atasnya di sini pada 16 Mac.

Selain penangkapan itu, polis merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan oleh Hew untuk membuat kenyataan berkenaan di Facebook.

Kuan Yau didakwa membuat kenyataan tersebut dengan memuat naik poster parodi filem animasi Walt Disney, 'Beauty and the Beast' yang disertakan dengan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 13 Mac.-- Bernama

Hew Kuan Yau, Facebook, Superman

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan