suria

'Maaf, Kurniaan Gelaran Datuk Johor Bukan Untuk Dijual'

KUALA LUMPUR: Sultan Johor sentiasa tegas dalam pengurniaan gelaran 'Datuk' dan memberi amaran bahawa penganugerahan gelaran serta darjah kebesaran dari negeri itu bukan untuk dijual.

Kurniaan darjah kebesaran dan pingat dari Johor adalah yang paling sukar diperoleh, titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam temu bual eksklusif dengan Kumpulan Media Prima Bhd di Istana Flintstone, Mersing baru-baru ini.

Calon-calon perlu melalui proses penapisan yang ketat oleh kerajaan negeri, Jumaah Majlis Diraja Johor, anggota kerabat diraja Johor selain menyiasat latar belakang gaya hidup calon selain penapisan keselamatan oleh polis.

Sultan Ibrahim dilaporkan menyebut bahawa proses tapisan yang ketat telahpun dijalankan semasa pemerintahan Almarhum ayahandanya sambil menegaskan bahawa pengurniaan gelaran adalah lebih sukar semasa pemerintahan baginda sekarang.

Memang benar, hanya tiga kurniaan 'Datuk' akan dianugerahkan sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-59 tahun ini, demikian diumumkan Jumaah Majlis Diraja Johor semalam.

"Di Johor, pengurniaan darjah kebesaran dan pingat bukan untuk dijual. Tidak ada penglibatan orang tengah untuk memperolehnya," Sultan Johor dipetik oleh New Straits Times sebagai berkata.

Dalam temu bual itu, Sultan Ibrahim memberitahu bahawa beberapa orang tengah datang berjumpanya dan mahu memberikan RM2 juta kepadanya bagi memperoleh gelaran "Tan Sri" daripada kuota baginda.

"Saya memberitahu orang tengah berkenaan, yang tidak disiarkan namanya  kerana ia mengaibkan, supaya balik sajalah. Saya tidak menjual kurniaan gelaran," Sultan Johor dipetik sebagai menyatakan demikian oleh akhbar berbahasa Inggeris itu.

Sultan Ibrahim juga menyebut bahawa lebih mudah memperoleh gelaran 'Tan Sri' daripada persekutuan kerana tahun lepas sahaja, 62 orang menerima gelaran itu.

"Di Malaysia, jika saya menutup mata dan melontar batu, ia mungkin terkena kepala Datuk dan batu yang sama mungkin melantun terkena seorang lagi Datuk, dan jika bernasib baik, ia mungkin juga terkena Tan Sri," Sultan Johor dipetik sebagai menyatakan demikian.

Sultan Ibrahim juga mengulangi gesaan baginda kepada orang luar dan rakyat Johor di luar negeri itu supaya tidak memecah-belahkan bangsa Johor.

"Kepada orang luar yang datang dan memecah-belahkan Johor atau rakyat Johor yang tinggal di Kuala Lumpur dan mempunyai cita-cita politik dan pulang untuk memecah-belahkan rakyat, saya menyatakan lebih baik pulang, kamu tidak dialu-alukan di sini (Johor)," Sultan Johor dipetik oleh akhbar berkenaan.

Sultan Ibrahim menyatakan bahawa mereka yang mempercayai pembohongan itu adalah sama seperti mereka yang melakukan pengkhianatan.

Temu bual itu diketuai oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mahfar Ali dan anggota lain termasuk Penolong Editor Berita dan Ehwal Semasa TV3 Izwan Azir Saleh, Ketua Biro New Straits Times Johor Ahmad Fairuz Othman dan Ketua Biro Berita Harian Johor Junita Mat Rasid. - BERNAMA

Artikel Lain