suria

MAHB Semakin Hampir Wujud Bandaraya Lapangan Terbang, KLIA Aeropolis

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) semakin hampir mewujudkan bandar raya lapangan terbang, KLIA Aeropolis selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Invest Selangor Bhd dan perjanjian perkongsian dengan TCR Solutions Sdn Bhd (TCR Group).

Majlis menandatangani MoU dan perjanjian perkongsian itu berlangsung semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2017 di Langkawi.

MoU dengan Invest Selangor, agensi promosi pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Selangor, menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk mempromosi dan memasarkan Aeropolis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Taman Aeroangkasa Subang sebagai hab aeroangkasa rantau ASEAN.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, MAHB berkata aeroangkasa merupakan antara  empat bidang ekonomi utama yang dikenal pasti oleh Invest Selangor untuk merangsang ekonomi Selangor.

Sementara itu, perjanjian perkongsian antara MAHB dan TCR, penyedia perkhidmatan peralatan sokongan darat (GSE) yang berpangkalan di Belgium akan menyediakan MAHB platform untuk menawarkan kemudahannya di KLIA, yang juga akan menjadi ibu pejabat TCR Asia Pasifik.

TCR, pada masa yang sama akan bertindak sebagai asas bagi pengembangan di Asia Pasifik, dengan projek-projek di Singapura, Thailand, Indonesia, Australia, New Zealand, Hong Kong, Filipina dan Jepun.

"Perkongsian ini berpotensi menyumbang kepada meningkatkan tahap perkhidmatan dan penjimatan kos untuk peserta pengendalian darat dan syarikat penerbangan," katanya.

MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali bagi pihak MAHB, manakala Invest Selangor diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasan Azhari Idris.

TCR Solution diwakili oleh Pengarah Urusan bagi Asia Pasifik, Jason Watson dan Pengurus Pembangunan Perniagaan bagi Asia Pasifik Scott Munro pada majlis menandatangani perjanjian perkongsian itu.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain