suria

Polis Masih Belum Terima Notis Debat Dr M-Nazri

KUALA LUMPUR: Polis masih belum menerima sebarang notis berhubung debat antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 7 April depan.

"Kami tidak diberi apa-apa notis lagi, jadi saya tidak akan komen," kata Ketua Polis Negara. Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditanya mengenai perkara itu.

Beliau ditemui semasa sambutan Hari Polis ke-210 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pada Sabtu.

Selain itu Khalid juga menolak soalan mengenai kenyataan Nazri sama ada Malaysia adalah sebuah negara polis.

"Negara polis apa? Adakah anda rasa kebebasan anda terbatas? Adakah anda rasa ke mana sahaja anda pergi, anda perlu dapatkan perintah polis? 

"Ini adalah komen politik," katanya.

Program debat itu pada mulanya dijadual diadakan pada Sabtu di Maktab Rendah Sains Mara di Kuala Kangsar, Perak tetapi ditangguhkan berikutan kegagalan penganjur untuk mendapatkan kelulusan polis.

Penganjur debat iaitu Sinar Harian bagaimanapun berkata bahawa program berkenaan dijadualkan semula yang akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Debat itu akan berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam dari pukul 9.30 malam, 7 April.

Nazri sebelum ini mengkritik polis berhubung keputusan untuk menghalang cadangan debatnya dengan Dr Mahathir.

Dr Mahathir, Nazri Aziz

Artikel Lain