suria

MB Perak Nafi Tawar Pakej Umrah Bernilai Hampir RM40,000

LUMUT: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Ahad menafikan pejabatnya menyediakan pakej haji bernilai RM39,500 seperti yang ditularkan di aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Zambry berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan mengenai perkara tersebut dan menganggap mesej itu disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Nasihat saya berhati-hati kerana saya tidak pernah membenarkan mana-mana pihak menggunakan sebarang pakej yang berkaitan dengan Pejabat Menteri Besar untuk menunaikan haji.

"Jangan mudah terpedaya kerana mesej ini memberi gambaran yang boleh memesongkan dan seolah-olah ada kaitan dengan saya," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan Pulau Pangkor oleh Jabatan Kerja Raya, Ahad.

Mesej menggunakan nama 'Sahabat Pejabat Menteri Besar Perak' itu menjadi tular sejak beberapa hari lalu dengan menawarkan pakej selama 28 hingga 30 hari berharga RM39,500 termasuk penginapan di hotel bertaraf lima bintang di Makkah dan Madinah.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata padang sintetik yang dibina di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor sejak tiga tahun lalu dijangka dapat digunakan April ini.

Beliau berkata lampu limpah juga akan dipasang di kawasan sekitar bagi mmemastikan padang sintetik pertama di daerah Manjung itu dapat digunakan pada waktu malam.

Katanya Kementerian Belia dan Sukan telah memperuntukkan RM2.2 juta untuk membina padang bagi kegunaan sekolah dan masyarakat Pangkor atau sebarang acara kerajaan seperti sukan.-Bernama

Artikel Lain