KUALA LUMPUR: Kawasan perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini yang menempatkan mayat Kim Jong-nam kini tidak lagi 'diberikan kawalan ketat' oleh pihak polis. Tinjauan Bernama sekitar pukul tujuh malam tadi mendapati pintu utama IPFN yang sebelum ini ditutup rapat telah dibuka sepenuhnya dan orang ramai yang berurusan di IPFN dibenarkan masuk. Jurugambar Bernama, Mohamad Helmizuddin Daud memberitahu penulis beliau berasa pelik kerana kebiasaannya anggota polis mengawal ketat di pintu masuk IPFN itu dengan hanya membenarkan dua atau tiga ahli keluarga sahaja yang perlu berurusan di IPFN. Difahamkan kawalan ketat itu dilonggarkan selepas sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire berwarna putih beredar dari IPFN, sekitar 2 petang Ahad. Bagaimanapun, pihak polis ketika dihubungi Bernama enggan mengulas mengenai kehadiran kenderaan pelbagai guna itu di IPFN. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam pada Ahad berkata, kerajaan dijangka memutuskan segera tindakan ke atas mayat Kim Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin Korea Utara dalam tempoh terdekat ini. Subramaniam berkata, perbincangan masih dijalankan dengan pelbagai pihak termasuk Wisma Putra, Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan Korea Utara. Pada 13 Februari lepas, Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika menungggu penerbangan untuk ke Macau. Dia dihampiri dua wanita warga asing yang menekup mukanya dengan agen saraf VX. Jong-nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. - Bernama