KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan baginda tentang cubaan rasuah sebanyak RM2 juta untuk memberikan pingat kebesaran berpangkat 'Tan Sri'. Difahamkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menghadap Sultan Ibrahim di sebuah kondominum mewah di sini pada Isnin. Dzulkifli tiba dengan kenderaan rasmi ke lokasi berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi sebelum dilihat meninggalkan kawasan itu pada jam 9.40 pagi. Dzulkifli terus menuju ke kenderaannya dan enggan mengulas mengenai pertemuannya dengan Sultan Ibrahim. Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan ketika ditemui wartawan yang menunggu baginda di lokasi terbabit. "I'm going shopping (saya ingin pergi membeli-belah)," kata baginda sambil berjalan keluar dari lokasi berkenaan ke kenderaan rasmi, kira-kira jam 10.15 pagi. Pada Ahad, Sultan Johor mengesahkan meminta wakil SPRM datang mengadap baginda bagi mendedahkan nama individu yang cuba merasuah baginda sebanyak RM2 juta. Ia bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk gelaran Tan Sri daripada Yang di-Pertuan Agong. Sementara itu, dalam satu kenyataan, SPRM berkata, pihaknya sudah mengenalpasti individu terbabit berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Sultan Ibrahim. "SPRM akan memastikan siasatan secara telus dilaksanakan dan tindakan tegas diambil mengikut undang-undang. "SPRM berbangga kerana mendapat sokongan dan komitmen daripada Sultan Johor dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini terutamanya di Johor," jelas kenyataan tersebut.