KUALA LUMPUR: Lebih 1,100 pesalah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah di Malaysia setakat 21 Februari lalu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. "Berdasarkan statistik Jabatan Penjara, sehingga 21 Februari lalu, seramai 1,122 banduan telah menjalani hukuman tersebut," kata Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri menerusi jawapan bertulis pada sidang Parlimen di sini, Isnin. Jawapan beliau tidak menyatakan tarikh hukuman mati itu dilaksanakan. Beliau menjawab soalan yang diajukan oleh ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto yang bertanyakan kepada pihak kementerian tentang statistik banduan yang telah dihukum mati berdasarkan latar belakang dan kes setakat Februari tahun ini. Ahmad Zahid berkata, seramai 16 banduan iaitu 14 rakyat Malaysia dan dua rakyat asing, dihukum mati antara 2014 dan 21 Februari lalu. "Daripada jumlah tersebut, seramai 15 banduan dihukum mati atas kesalahan membunuh manakala seorang lagi banduan menerima hukuman sama disebabkan kesalahan melibatkan senjata api," kata beliau. Pada minggu lalu, Kabinet bersetuju untuk menyemak semula Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membenarkan hakim menggunakan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman ke atas pesalah berbanding mengenakan hukuman mati mandatori. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian semula itu akan membolehkan hakim untuk mengenakan hukuman sesuai dalam kes terpencil yang melibatkan pesalah hanya dikenakan hukuman penjara.