suria

Tinggal Bayi Dalam Kotak Mineral

PETALING JAYA: Bayi lelaki yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui di tangga sebuah pangsapuri di PJU8/9, dekat sini, pada Isnin.

Menurut laporan portal Sinar Online, bayi malang terbabit ditemui oleh penduduk pangsapuri berkenaan kira-kira jam 4 petang selepas mendengar tangisan di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, bayi terbabit yang ditinggalkan di dalam kotak minuman diletakkan di tingkat lapan pangsapuri terbabit.

"Ketika kejadian saksi yang menemui bayi terbabit dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Apabila berselisih daripada ruang tangga sebelah kiri, saksi terdengar tangisan bayi.

"Saksi terus menuju ke arah tangisan bayi dan nampak ada sebuah kotak air mineral di lokasi terbabit," katanya.

Tambahnya, dalam kotak tersebut saksi menjumpai bayi lelaki yang masih dalam tangisan dan menunggu beberapa minit sebelum membawa bayi ke rumahnya sekali dengan kotak.

Katanya,  saksi kemudian menghubungi ibunya yang sedang berkerja sebelum ibunya menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.

Mengulas lanjut, berdasarkan maklumat daripada pihak perubatan mengesahkan bahawa bayi dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke wad kecemasan Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Siasatan telah dijalankan, kita telah mengambil kain pada bayi itu untuk analisa DNA. Selain itu, pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi kesan 'possible mother'," katanya.

Buang Bayi

Artikel Lain