suria

Jong-nam: Wartawan Bingung Di HKL

Gambar fail Kim Jong-nam.

KUALA LUMPUR: Wartawan tempatan dan asing yang 'berkampung' di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL), tempat mayat Kim Jong-nam diletakkan, bingung dengan keadaan kes itu kebelakangan ini. 

Kira-kira 4.00 petang Isnin, kakitangan HKL mengangkut semula segala kemudahan disediakan sebelum ini kepada media yang membuat liputan kes Jong-nam.

Pada 24 Februari lepas, HKL mendirikan khemah dan menyediakan kerusi serta meja kepada wartawan. 

Ketika wartawan bertanyakan pekerja HKL mengapa mereka menarik balik semua kemudahan tersebut, pekerja itu meminta media merujuk perkara berkenaan kepada penyelia mereka.   

"Saya diarahkan oleh pegawai atasan untuk mengambil kembali semua kemudahan ini," kata kakitangan terbabit. 

Namun, pada pukul 5 petang, kakitangan itu kembali mendirikan semula khemah yang sebelum itu diturunkan. 

Bingung dengan keadaan itu, wartawan menyoal pekerja terbabit. 

"Pengarah menghubungi kami supaya mendirikan semula khemah untuk media," kata sumber HKL kepada Bernama

Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas oleh dua wanita warga asing menggunakan agen saraf VX. 

Jong-nam dilaporkan meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu, dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya, namun meninggal dunia dalam perjalanan. 

Beliau dilaporkan memasuki Malaysia pada 6 Februari, menggunakan nama Kim Chol pada pasport. - Bernama

Artikel Lain