KUALA LUMPUR: Sembilan pesawat pejuang aerobatik Black Eagles KAI T-50B milik Korea Selatan mengegarkan ruang udara ibukota dengan melakukan pelbagai formasi melintasi bangunan ikonik negara, KLCC. Bunyi deruman jet sekitar 10.45 pagi Rabu itu telah menarik perhatian warga kota serta pelancong asing yang sama-sama menyaksikan pertunjukan berkenaan. Black Eagles sebelum ini terlibat dalam pertunjukan akrobatik semasa Pameran Udara Dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima’17) yang berakhir 25 Mac lepas. Pesawat berkenaan dijadual meneruskan perjalanan ke pangkalan tentera udara Republik Korea (Rokaf) di Gangwon, Korea Selatan.