KOTA KINABALU: Seorang maut manakala seorang lagi cedera ringan setelah kereta pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas dan terhumban ke dalam pembetungan najis di Bulatan Jalan Bypass Beaufort, Selasa malam. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata mangsa Andrew Mustal, 27, disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital di lokasi kejadian. "Bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu 8.33 malam dan sampai dilokasi lapan minit kemudian. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," kata kenyataan itu. Seorang lagi mangsa, Elson Isos, 22, yang mengalami cedera ringan dihantar ke hospital terdekat untuk mendapat rawatan.-Bernama