suria

Ibu Syukur Anak Bakal Pulang

Maznah Adnan (kanan) mendoakan keselamatan anaknya Iza Karmila dan keluarganya pada majlis tahlil dan doa selamat dirumahnya pada 9 Mac lalu. fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Maznah Adnan, ibu kepada seorang daripada rakyat Malaysia di Korea Utara melahirkan rasa syukur dengan berita kepulangan anaknya yang dijangka tiba pagi Jumaat.

"Alhamdulillah.. saya merasa bersyukur selepas mendapat berita daripada siaran TV tadi," katanya.

Katanya beliau kini berada di Kuala Lumpur dan akan menetap di salah sebuah hotel di sana. Maznah, 63, adalah ibu kepada Iza Karmila Ramli, 33 tahun.

Selain Iza Karmila, Mohd Nor Azrin Md Zain (menantu) dan tiga cucunya Annur Zulaikha, Aynur Zhafirah serta Ayscha Zinnirah adalah antara sembilan warganegara Malaysia yang "terperangkap" di Kedutaan Malaysia di Pyongyang.

Sementara itu di Ipoh, S. Komala Theinmoli, 48, berkata tiada yang lebih mengembirakan bagi dirinya dan keluarga apabila dimaklumkan adiknya yang bekerja sebagai pegawai tadbir di pejabat Kedutaan Malaysia di Korea Utara, S. Nirmala Malar Kodi dijangka tiba di tanah air pada Jumaat.

Menurut Komala, beliau hanya mengetahui tentang berita gembira itu daripada media yang menghubunginya untuk mendapatkan reaksi.

"Saya berasa sangat syukur kerana sudah terlalu lama menunggu berita gembira ini. Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan," katanya.

Komala yang merupakan peniaga pasar di Kuala Kangsar berkata sejak kerajaan Korea Utara menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu pada 7 Mac lepas, dia tidak pernah berhenti mendoakan keselamatan adiknya dan semua rakyat Malaysia. 

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kesemua rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara kini dibenarkan pulang ke tanah air.

Najib berkata kesemua mereka berlepas dari Pyongyang pada pukul 7.45 malam Khamis waktu Malaysia dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pukul 5 pagi Jumaat. - BERNAMA

Korea Utara, Malaysia, Maznah Adnan

Artikel Lain