suria

Sembilan Rakyat Malaysia Terkandas Di Pyongyang Dibenar Pulang

Gambar Iza Karmila bersama suami Mohd Nor Azrin serta tiga anak mereka Annur Zulaikha, Aynur Zhafirah dan Ayscha Zinnirah yang dirakamkan di hadapan Kedutaan Malaysia di Pyongyang, Korea Utara. fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini tidak dibenarkan meninggalkan Korea Utara telah dibenarkan pulang ke tanah air pada Khamis.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesemua mereka berlepas dari Pyongyang kira-kira pukul 7.45 malam waktu Malaysia dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5 pagi Jumaat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dalam kerajaan yang sama-sama terlibat dengan rundingan dengan pihak Korea Utara yang diketuai Kementerian Luar. Saya amat prihatin mengenai perkara ini dan kita bekerja secara intensif untuk mencapai kejayaan ini.

"Banyak cabaran yang diharungi untuk memastikan kepulangan rakyat Malaysia. Keselamatan mereka akan sentiasa menjadi keutamaan saya," kata Najib dalam satu kenyataan di laman blog najibrazak.com.

Pada masa sama, Najib berkata, kerajaan turut membenarkan warga Korea Utara untuk meninggalkan Malaysia.

"Berikutan selesainya proses bedah siasat ke atas mayat dan penerimaan surat daripada keluarganya yang meminta mayat dikembalikan kepada Korea Utara, koroner telah meluluskan penghantaran pulang mayat tersebut," katanya.

Najib menegaskan Malaysia amat percaya kepada prinsip keadilan dan kedaulatan serta siasatan polis terhadap jenayah serius di negara ini akan diteruskan.

"Saya telah mengarahkan semua langkah yang mungkin perlu diambil untuk mengheret mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu ke muka pengadilan," katanya.

Sebagai Perdana Menteri, Najib turut menyatakan rasa syukur kerana semua rakyat Malaysia bersatu dalam mengatasi krisis ini dengan semangat Negaraku.

"Ia menunjukkan apa yang boleh dicapai untuk negara jika kita bekerjasama," katanya.

Pada 7 Mac lalu, Korea Utara mengeluarkan larangan sementara kepada rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

Arahan itu bertujuan untuk memastikan keselamatan para diplomat dan rakyatnya yang masih berada di Malaysia.

Rakyat Malaysia yang terkandas di Pyongyang adalah Penasihat Kedutaan Malaysia di Korea Utara Mohd Nor Azrin Md Zain, isterinya, Iza Karmila Ramli bersama tiga anaknya, Annur Zulaikha, Aynur Zhafirah dan Ayscha Zinnirah.

Turut bersama mereka adalah pembantu peribadi duta Noor Saadiah Jamaludin, pembantu tadbir Nirmala Malar Kodi Singaram berserta dua yang lain.

Najib Tun Razak, Korea Utara

Artikel Berikut

Artikel Lain