suria

Arifin Zakaria Bersara Sebagai Ketua Hakim Negara

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dipeluk Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, ketika meninggalkan Istana Kehakiman pada hari akhir perkhidmatan beliau, Jumaat. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bersara wajib pada Jumaat setelah berkhidmat selama 25 tahun dalam badan kehakiman negara.

Sempena persaraannya itu, Arifin berkata beliau telah melaksanakan empat janji yang dibuatnya semasa dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Ke-13 pada 12 September 2011.

Empat janji itu adalah menjadikan mediasi sebagai komponen teras dalam sistem kehakiman, latihan perundangan berterusan kepada hakim dan pegawai kehakiman, Kaedah-kaedah Mahkamah Digabungkan yang memudahkan prosedur sivil di mahkamah serta menaikkan bidang kuasa Mahkamah Sivil.

"Saya bersyukur kerana badan kehakiman telah meningkatkan prestasinya. Saya percaya badan kehakiman dapat meningkatkan lagi prestasinya di bawah pimpinan pengganti saya," katanya semasa berucap pada majlis persaraannya di Istana Kehakiman di sini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberinya penghormatan untuk menerajui badan kehakiman lebih lima tahun.

Arifin kemudian beramah mesra dan bersalaman dengan kakitangan kehakiman serta anggota polis lelaki dan wanita.

Beliau juga dilihat mengalirkan air mata semasa memeluk Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff sebelum meninggalkan bangunan Istana Kehakiman.

Tahun lepas, perkhidmatan Arifin, yang akan mencecah usia 67 tahun pada 1 Oktober ini, dilanjutkan selama enam bulan.

Usia persaraan bagi hakim ialah 66 tahun.

Arifin, yang berasal dari Kelantan, mendirikan rumahtangga dengan Toh Puan Robiah Abd Kadir dan dikurniakan lima cahaya mata. -Bernama

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan