suria

Pengusaha Nasi Lemak Gay Dakwa Diugut Simbah Asid

PETALING JAYA: Pengusaha Nasi Lemak Gay yang mencetuskan kontroversi susulan penggunaan perkataan dan bendera yang melambangkan golongan homoseksual itu mendakwa terpaksa menghentikan sementara perniagaannya selepas menerima ugutan disimbah asid.

Hanya mahu dikenali sebagai Adi Yusuf, pemuda berusia 33 tahun itu menerima panggilan berbaur ugutan yang mengancam dirinya akan ditimpa musibah jika masih terus menggunakan nama tersebut untuk mempromosikan jualannya.

Katanya, ugutan daripada lelaki tidak dikenali itu adalah punca utama perniagaan nasi lemak yang beroperasi di Taman Segar, Cheras terpaksa dihentikan buat sementara.

“Kecam tak kecam atau apa-apa lain, lantaklah. Cuma ugut itu berat untuk saya...kalau nampak depan, muka akan disimbah asid. 

“Itu agak menakutkan, memang saya takut,” katanya yang mendedahkan perkara tersebut dalam temuramah pada Khamis.

Ditanya adakah laporan polis dibuat berhubung ugutan tersebut, Adi berkata, dia tidak mahu memperbesarkan perkara itu.

“Bagi saya, lagi saya melayan dan diperbesarkan, lagi bertambah buruk,” katanya.

Adi menjelaskan bahawa bahawa Nasi Lemak Gay merupakan singkatan kepada Gerai Adi Yusuf.

Pada Khamis, mStar Online melaporkan bahawa operasi gerai Nasi Lemak Gay terpaksa dihentikan sementara selepas menerima pelbagai reaksi dan kecaman.

Adi tampil menjelaskan bahawa Nasi Lemak Gay bukanlah bermaksud lelaki gay atau homoseksual, sebaliknya ia adalah singkatan kepada Gerai Adi Yusuf.

Mengenai lambang bendera Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang didakwa terpapar di sepanduk yang digunakannya, Adi berkata, ia sekadar ‘kebetulan’ namun menegaskan sepanduk itu digunakan untuk strategi mempromosikan jualannya.

“Saya tahu bendera itu, tetapi macam yang saya cakap G.A.Y bermakna Gerai Adi Yusuf. Itu yang saya cuba sampaikan.

“Tetapi serius saya tidak bermaksud apa-apa. Saya sekadar mengikut trend terkini untuk melariskan. Tak sangka sampai 'meletup' satu 'Malaya',” katanya.

Adi yang merupakan anak kelahiran Jengka, Pahang itu bagaimanapun memohon maaf sekiranya tindakan tersebut mengundang rasa kurang senang di kalangan masyarakat.

“Memang saya tidak ada niat apa-apa. Maaf kepada mereka yang mengecam saya, yang menyokong saya atau sesiapa sahaja," katanya.

Ditanya mengenai status seksualiti berikutan tanggapan netizen bahawa dirinya seorang gay, Adi hanya menjawab ringkas: “Tak.”

Adi masih membuka tempahan meskipun tidak menjual nasi lemak di gerai.

Adi bagaimanapun memberitahu setakat ini dia tidak menerima sebarang mesej yang kurang disenangi daripada lelaki gay.

“Memang tak ada. Tetapi yang kecam pasal gay itu ramai. Yang hendak berkenalan itu tak ada.

“Apa yang saya cuba hendak sampaikan adalah menjual nasi lemak, bukannya saya hendak menjual diri saya,” katanya.

Sehubungan itu, Adi meminta semua pihak supaya tidak berterusan membuat kecaman, sebaliknya memberi peluang kepada dirinya sebagai anak muda untuk mencari rezeki dalam bidang makanan dan minuman (F&B) yang diceburinya sejak berusia 16 tahun.

Bagaimanapun Adi masih belum memutuskan sama ada mahu terus menjual nasi lemak tanpa menggunakan nama Nasi Lemak Gay atau mencari kerja lain dalam bidang F&B.

Kemunculan Nasi Lemak Gay ketika kontroversi Nasi Lemak Pondan belum pun reda, sehingga menjadi tular dan bualan netizen di media sosial.

Selain Nasi Lemak Gay dan Nasi Lemak Pondan, terdapat beberapa gerai nasi lemak yang menggunakan nama lain daripada yang lain sebagai strategi memancing pembeli seperti Nasi Lemak Anak Dara dan Nasi Lemak Spiderman.

Adi Yusuf, Nasi Lemak Gay

Artikel Lain