KOTA MARUDU: Malaysia mengharapkan bantuan Interpol untuk menahan empat suspek warga Korea Utara yang terlibat dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad berkata Malaysia telah meminta bantuan dari organisasi polis antarabangsa itu untuk menangkap empat suspek yang melarikan diri ke Korea Utara sejurus selepas pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu. Kata Timbalan Perdana Menteri, Malaysia telah membangkitkan perkara itu kepada Presiden Interpol, Meng Hongwei yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Awam China. "Kita serahkan kepada jasa baiknya untuk membawa ia ke perhatian Jorgen Stock, Setiausaha Agung Interpol," kata Ahmad Zahid kepada pemberita ketika ditanya mengenai notis amaran merah Interpol terhadap empat warga Korea Selatan itu.Empat warga Korea Utara itu melarikan diri ke Pyongyang pada hari sama Jong-nam dibunuh. Warga Indonesia Siti Aisyah dan Doan Thi Huong dari Vietnam didakwa melakukan pembunuhan tersebut. Kedua-dua mereka didakwa menggunakan agen saraf VX yang disediakan empat suspek tersebut untuk membunuh Jong-nam.