suria

Anggota Tentera Didakwa Peras Ugut Calon Perajurit Muda Ditahan

SEREMBAN: Polis menahan anggota tentera berpangkat koperal yang didakwa melakukan peras ugut terhadap 24 calon Perajurit Muda di Mambau, Port Dickson pada Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Negeri SAC Muhamad Zaki Harun berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di kediamannya di sini pada kira-kira 3 pagi Sabtu.

Katanya 24 calon Perajurit Muda membuat laporan di Balai Polis Port Dickson mendakwa telah diugut untuk menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit setelah dibawa ke stesen Petronas Batu 4, Port Dickson dan kemudian ditinggalkan di situ pada Jumaat lepas.

Polis kini giat mengesan empat lagi rakan subahat suspek dengan tiga daripadanya adalah bekas anggota tentera, katanya.

Sebelum ini, laporan yang mendakwa seramai 24 calon Perajurit Muda lelaki telah diperas ugut oleh seorang lelaki beruniform tentera Jumaat lepas, tular di media sosial.

Muhamad Zaki berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

peras ugut, tentera, Perajurit Muda

Artikel Lain