KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 kes penderaan seksual dalam kalangan kanak-kanak direkodkan sepanjang tahun lalu dan jumlah itu semakin meningkat saban tahun, sekali gus memperlihatkan keperluan untuk menguatkuasakan Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, tahap peningkatan kes penderaan tersebut sangat membimbangkan terutamanya melibatkan kes pedophilia yang memburu golongan kanak-kanak. Ujarnya, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 5,052 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan. "Statistik telah menunjukkan peningkatan dalam tempoh lima tahun lalu melainkan sedikit penurunan pada 2014 dan 2015 tetapi ia perlu diberi perhatian yang serius. "Kebanyakan pesalahnya adalah terdiri daripada ibu bapa, penjaga atau pihak yang rapat dengan kanak-kanak termasuk pedophilia yang berkait rapat dengan penderaan seksual kanak-kanak ," katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr Noraini Ahmad (Parit Sulong-BN), di Parlimen, Isnin. Berhubung ancaman pedophilia di negara ini, beliau berkata, ancaman tersebut berada ditahap yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. "Pedophilia bermula dengan kes Richard Huckle yang telah menggemparkan negara tahun lalu atas sabitan kesalahan merogol dan serangan seksual terhadap 23 kanak-kanak di negara ini. "Perdana Menteri semasa sambutan Hari Wanita 2016 mengarahkan agar satu jawatankuasa task force ditubuhkan bagi meneliti perkara ini. Hasilnya, Rang Undang-undang kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 akan dibahaskan hari ini (Isnin)," katanya. Beliau juga berkata, ancaman pedophilia juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan atau pendedahan teknologi yang mudah diakses hari ini seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. "Impak internet serta media sosial terhadap eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak oleh seorang pemangsa Pedophilia amat meluas sehingga merangkumi ramai mangsa kanak-kanak pada satu masa. "Ekspolitasi seks boleh berlaku secara online dan off line. Aktiviti eksploitasi online adalah memaparkan gambar lucah kanak-kanak manakala offline adalah melalui pertemuan bersemuka di mana profil kanak-kanak dan lokasi mereka juga boleh diketahui," ujarnya.