IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria meminta kerajaan menarik kembali pindaan terhadap Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) daripada dibentangkan di Dewan Rakyat. Menurutnya, cadangan pindaan Akta 164 itu dilihat bertentangan dengan Islam dan hukum syarak seperti yang diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke-87 pada Jun 2009. “Pada muzakarah itu memutuskan bahawa apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa yang memeluk Islam, status agama anak-anak di bawah umur secara langsung adalah Islam dan ia diterima dalam negara. “Pembentangan (Akta 164) ini seolah-olah memperlekeh dan menghina serta tidak menghormati fatwa. Diharapkan kerajaan menarik balik pindaan itu agar tidak menimbulkan kekeliruan. “Saya nasihatkan kepada semua ahli kerajaan atau pemegang tampuk kuasa untuk menghormati perlembagaan, melaksanakan perlembagaan, menghormati agama serta menghormati perasaan rakyat beragama Islam dalam negara,” katanya pada sidang media di Pejabat Mufti Perak di sini, Isnin. Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, pindaan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164] wajar diteliti semula sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat. Ini kerana menurutnya, akta ini melibatkan isu sensitif iaitu melibatkan status aqidah anak-anak. “Pindaan ini akan merobek aqidah anak kecil dan memberi kemenangan kepada perjuangan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) suatu masa dahulu yang kita sama-sama telah tolak dahulu secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan. - SINAR ONLINE