suria

Tawaran Melanjutkan Pelajaran Melalui WhatsApp Palsu - KPT

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa tawaran melanjutkan pelajaran oleh Institut Pendidikan Tinggi yang disebarkan melalui media sosial seperti aplikasi WhatsApp adalah palsu.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata tindakan itu telah menyebabkan ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tertipu dan terpengaruh dengan tawaran tersebut seperti yang dilaporkan sebuah akhbar pada Selasa.

"Ini merupakan penipuan yang serius oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," kata kementerian itu.

KPT dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan pihak berkuasa berkaitan akan menyiasat dengan lebih terperinci sindiket penyebaran mesej palsu itu supaya orang ramai tidak berterusan merasa gusar dan tertipu, katanya.

Kementerian dalam masa yang sama mengingatkan semua Institut Pendidikan Tinggi Swasta supaya mematuhi garis panduan pengiklanan yang telah ditetapkan oleh KPT selaras dengan peruntukan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

"Tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya didapati ada yang melanggar peraturan tersebut," katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa merujuk maklumat tepat berkenaan pengajian tinggi melalui portal rasmi KPT iaitu di www.mohe.gov.my atau melalui agensi-agensi di bawahnya.-- Bernama

WhatsApp, KPT, SPM

Artikel Lain