PUTRAJAYA: Seorang lelaki berusia 49 tahun dipercayai 'bookie' dalam pengaturan perlawanan melibatkan tiga pemain Liga Perdana Malaysia, direman selama enam hari. Magistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat untuk menahan lelaki berkenaan bagi menjalankan siasatan lanjut. Pekerja kedai barangan lusuh itu ditahan di Kuala Lumpur pada petang Khamis susulan penahanan tiga pemain Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) yang disyaki mengambil rasuah. Ketiga-tiga pemain itu, dua pemain tempatan dan seorang pemain import direman selama seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM. Siasatan awal SPRM mendapati, pemain terlibat menerima wang rasuah antara RM10,000 dan RM30,000 daripada bookie untuk mempengaruhi keputusan perlawanan sepanjang kempen Liga Perdana. Pemain import yang ditahan berusia 29 tahun manakala pemain tempatan yang terlibat merupakan penjaga gol berusia 26 tahun dan pemain pertahanan 27 tahun.