PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Lahad Datu menahan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah untuk tidak menghadapkan seorang pemandu treler ke mahkamah atas tuduhan menyebabkan kematian dalam satu kemalangan pada 2012. Menurut sumber, suspek berusia 37 tahun itu ditahan di pejabat trafik, IPD Lahad Datu kira-kira jam 11.30 pagi Jumaat. Tambah sumber itu, kes kemalangan terbabit berlaku pada Februari 2012 dan mengakibatkan kematian seorang mangsa yang merupakan orang dan mencederakan seorang lagi mangsa. Difahamkan, selepas siasatan dijalankan, pemandu treler tersebut sepatutnya dikenakan saman dan tidak ada arahan untuk menuduhnya di mahkamah. Walaubagaimanapun, suspek telah mengambil kesempatan dan meminta wang rasuah RM3,500 daripada pemandu treler tersebut kononnya supaya dia tidak dituduh dan dijatuhkan hukuman penjara. Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan suspek akan direman pada Sabtu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17 ( a) Akta SPRM 2009 yang mana memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.