LABUAN: Pemimpin PAS akan turun padang untuk memberi penjelasan berhubung Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU355 kepada masyarakat, termasuk yang bukan beragama Islam, dalam masa dua tiga bulan akan datang. Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pembentangan RUU355 memperjelaskan kekeliruan yang selama ini menggambarkan seolah-olah rang undang-undang itu merupakan pintu belakang kepada hudud. "Pembentangan itu jelas bukan sebagaimana yang didakwa untuk melaksanakan hukum hudud, tetapi ia hanyalah menaik taraf mahkamah syariah. Pembentangan itu sedikit sebanyak meredakan kekeliruan masyarakat," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri program anjuran PAS di sini, Sabtu. Pembentangan RUU355 dibuat Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga Presiden PAS, pada hari terakhir Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13, pada Khamis lepas. Tuan Ibrahim berkata: "PAS berasa lega dengan pembentangan RUU355 setelah sekian lama tertangguh." Berhubung kerjasama dengan parti pembangkang lain seperti DAP, beliau berkata meskipun sudah tidak ada kesepakatan, namun pemuafakatan sebagai parti pembangkang masih wujud khususnya dalam pembahagian kerusi dalam pilihan raya ke-14 akan datang. "Apa yang kita harapkan kerusi yang ditandingi PAS tidak akan diganggu oleh parti pembangkang lain. Sebenarnya dalam konteks pembangkang, tidak ada dibentuk satu muafakat berdaftar, seperti ada satu logo, satu lambang seperti Barisan Nasional, yang penting adalah muafakat," katanya.