TUMPAT: Penduduk kampung Cherang Melintang dan beberapa kampung sekitar hadir menunaikan solat hajat dan tahlil di Tanah Perkuburan Islam Mukim Jal memohon kerahmatan dan keampunan Allah susulan kejadian penduduk mendengar suara aneh dari kubur. Kira-kira 200 penduduk kampung Cherang Melintang, Kampung Ana, Kampung Jal Besar, Kampung Padang Mandol dan Tok Oh hadir solat hajat itu yang diimamkan oleh Guru Pondok Jal Besar, Fadhil Zakaria. Pengerusi Tanah Perkuburan Islam Mukim Jal Besar, Che Husien Che Soh berkata, tahlil, solat hajat dan diadakan juga solat dhuha ini sudah lama dirancangkan dan ianya dapat dilaksanakan dengan sempurna pagi Jumaat. "Tentang suara ghaib yg didengari penduduk itu, jika benar itu semua kuasa dan hikmah Allah. "Ianya boleh ditafsirkan sebagai satu mesej dan peringatan kepada hamba Allah yang masih hidup agar mencari keredhaan, menggandakan amal soleh serta sentiasa mendoakan keampunan ibu bapa dan ahli keluarga yang telah kembali kerahmatullah," katanya kepada Sinar Online. Menurutnya, apa yang berlaku itu ada hikmah kerana pagi ini ramai ahli keluarga menziarahi pusara, luar biasa pada kelazimannya. "Saya juga ada umumkan tentang tapak perkuburan yang baru, ianya nanti dapat memuatkan lebih banyak jenazah dan lebih tersusun untuk urusan pengkebumian jenazah di tanah perkuburan ini," katanya. Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan, suara aneh seperti lelaki bertempik dari kubur yang didakwa didengar seorang pekerja Majlis Daerah Tumpat dua minggu lalu, berkemungkinan besar adalah gangguan daripada iblis dan syaitan. Menurutnya, iblis dan syaitan mengganggu anak-anak Adam dan tujuannya tiada syak lagi mahu menakut-nakutkan manusia. “Tidak boleh menolak kewujudan makhluk halus ini. Mereka boleh meniru suara atau menyerupai sesiapa sahaja yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. “Begitu pun keadaannya, manusia tidak seharusnya takut, sebaliknya hantu yang perlu takut pada manusia kerana iblis adalah ‘kuli’ manusia. Jika kita takut, macam kita pula ‘kuli’ mereka,” katanya ketika mengulas mengenai dakwaan Mahadi Mat Salleh, 45, yang mengakui mendengar suara aneh dari kubur yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Mohamad Shukri berkata, sebagaimana disebutkan dalam Surat Al-Baqarah ayat 30, Allah memilih manusia sebagai tuan di muka bumi dan bukan pula malaikat mahupun iblis atau syaitan. Tuan atau khalifah bermaksud penguasa yang mengatur segala isi di bumi, seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan, hutan, air, sungai, gunung-ganang, lautan dan sebagainya untuk kesejahteraan semua. Merujuk kepada firman Allah itu, manusia diangkat darjatnya melebihi makhluk lain dan seharusnya tidak perlu takut kepada perkara ghaib di sekeliling terutama pada iblis serta kaum kerbatnya. "Suara itu pula janganlah dikaitkan dengan sesiapa yang sudah meninggal dunia kerana bimbang akan menimbulkan perbalahan sesama manusia. Tugas manusia yang masih hidup ini adalah mendoakan perkara yang baik-baik kepada Allahyarham. “Gunakan kaedah dalam Islam yang mewajibkan kita menyelidik kesahihan sesuatu berita, tidak cukup hanya satu saksi, paling kurang perlu dua yang mengalami perkara sama dan jangan kita terima bulat-bulat sahaja perkara yang disampaikan. “Sekiranya mahu mengaitkan suara itu dengan seksa kubur, memang wujud, namun taraf nabi sahaja yang boleh mendengarnya dan setara mana sekalipun kekuatan orang biasa, tidak akan boleh hingga dapat mendengar jeritan seksaan kubur,” katanya.