KAJANG: Seorang penduduk digemparkan dengan penemuan sebutir peluru mortar dekat dewan orang ramai di Jalan Reko di sini pada kira-kira pukul 8.30 pagi. "Lelaki berkenaan segera menghubungi kami dan unit pemusnah bom yang terdiri daripada seorang pegawai dan anggota dari kontinjen Selangor dan Kajang bergegas ke tempat kejadian," kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nayan. Difahamkan bahan letupan itu dibawa ke satu lokasi di Kuari Batu Semenyih untuk dimusnahkan. "Bom dilupuskan pada pukul 11.39 pagi," tambahnya. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.