suria

E-Kad: SPRM Siasat Jika Ada Laporan

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan siasatan sekiranya terdapat laporan berhubung isu E-Kad kepada pendatang asing tanpa izin (Pati).

Ketua Pesuruhjaya (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, jika terdapat laporan, perkara tersebut akan diteliti terlebih dahulu sebelum siasatan lanjut dilakukan.

"Kalau ada laporan, kita akan siasat. Sama ada ia melibatkan rasuah atau salah guna kuasa, bergantung kepada laporan yang dibuat.

"Kemudian kita akan meneliti laporan tersebut dan sekiranya ada keperluan untuk melakukan siasatan, kita akan siasat," katanya selepas Majlis Konvensyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Ke-6 di Pusat Strategik Pendidikan dan Latihan Berterusan UIAM (IIUM Crescent) di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada SPRM akan terlibat dalam siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap tindakan beberapa cawangan Jabatan Imigresen mengeluarkan E-Kad kepada Pati tanpa mematuhi prosedur Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati (Program Rehiring).

Pada Isnin, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, KDN sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap perbuatan berkenaan yang menyalahi prosedur dalam pengeluaran kad terbabit kerana tidak mematuhi prosedur KDN.

"Saya minta semua Pati yang menerima E-Kad tanpa menjalani prosedur Program Penggajian yang ditetapkan KDN, memulangkan semula kad terbabit di Jabatan Imigresen terdekat sebelum tindakan tegas dikenakan," katanya.

Program Rehiring yang diperkenalkan KDN sejak 15 Februari lalu itu, dibuat untuk membolehkan Pati mendapatkan permit kerja yang sah selepas melalui prosedur tertentu sebelum E-Kad dikeluarkan Jabatan Imigresen.

SPRM, E-Kad, Imigresen

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan