KUALA LUMPUR: Penalti seratus peratus nilai cukai terhadap individu dan syarikat yang mengelak atau melapor cukai pendapatan tidak tepat, akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan. Ketua Pengawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Sabin Samitah berkata penalti itu adalah maksimum yang dikenakan berbanding penalti 45 peratus nilai cukai sekarang. "Misalnya jika mereka atau syarikat elak cukai RM1juta, maka mereka perlu bayar penaltinya RM1juta juga iaitu 100 peratus nilai cukai yang dikenakan," katanya. Penalti 100 peratus itu boleh dikenakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Operasi Gegar Bersepadu (G127B) di sini, Rabu. Sabin berkata penalti yang lebih tinggi itu diharap dapat memberi kesedaran kepada individu dan syarikat terhadap tanggungjawab membayar cukai pendapatan mereka. Mengenai Ops G127B dari 10 hingga 14 April, lawatan banci bisnes dan perniagaan, serahan notis sekatan perjalanan kerana tunggakan cukai, serahan notis tindakan mahkamah dan saman serta audit majikan dan audit potongan cukai bulanan akan dijalankan. – Bernama