TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas 500 karton rokok seludup dipercayai dari Indonesia bernilai RM16,750 dari sebuah bot laju di perairan Batu 4, dekat sini, Rabu. Pegawai Pemerintahnya, DSP Mohd Nazri Ibrahim berkata anggota PPM yang menjalankan rondaan Op Paradise melihat sebuah bot dari Sungai Nyamuk, Indonesia menuju ke Tawau dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada pukul 4.10 pagi. "Semasa Botronda Psc 6 hendak menghampiri, bot tersebut terus memecut laju dan dikejar selama 20 minit sebelum bot itu berjaya ditahan dalam keadaan bot terbalik serta kotak rokok hanyut di sekitar bot. "Pemeriksaan lanjut ke atas kotak didapati terdapat 50 karton rokok kretek Menara Dunia (RM1,000) serta 450 karton rokok Putih Premium Gold (RM15,750) yang cuba di seludup ke Tawau," katanya dalam kenyataan pada Rabu. Dalam pada itu, katanya, ketika operasi itu, seorang lelaki dipercayai juragan bot berkenaan tidak dapat ditahan ekoran air cetek dan berjaya melarikan diri dengan berenang ke tepi pantai. Nazri berkata kes itu akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967. -Bernama