suria

Sindiket Guna Remaja Untuk Mengemis Tumpas, Empat Ditahan

18 remaja yang berjaya diselamatkan dibawa menaiki trak polis.

KAJANG: Ia bermula dengan percubaan berani seorang pemuda melarikan diri dari sebuah apartmen di Bandar Mahkota Cheras.

Ini memberi petunjuk kepada polis untuk merungkai sindiket meminta sedekah yang mengeksploitasi hampir 20 remaja dari sebuah rumah anak yatim di Pulau Pinang.

Mangsa dibawa dari Pulau Pinang dan dipaksa meminta sedekah di sekitar Lembah Klang kira-kira dua tahun.

Salah seorang mangsa, lelaki berusia 21 tahun tidak tahan dipukul ahli sindiket tersebut selepas gagal mendapat wang sebanyak RM300 yang wajib diperolehinya setiap hari.

Pada 4 April, mangsa tersebut cuba melompat keluar dari tingkap apartmen tersebut tetapi berjaya dihalang wakil pihak pengurusan kediaman berkenaan.

Wakil tersebut berkata lelaki itu kemudiannya memanjat turun dari tingkat lima dan duduk di atas tebing tingkat pertama, lokasi dia dijumpai.

Mangsa diminta untuk tidak melakukan apa-apa dan akhirnya berjaya dibawa turun dengan selamat.

Mangsa kemudiannya mendedahkan dirinya menjadi mangsa sindiket tersebut dan wakil pengurusan apartmen itu membantunya membuat laporan polis.

Pada malam 6 April lalu, sepasukan polis menyerbu apartmen sama dan menyelamatkan 18 mangsa lain masing-masing berusia antara 17 hingga 28 tahun.

Empat daripada mereka terdiri daripada wanita.

Kesemua mangsa dipercayai tinggal di dua unit apartmen tersebut manakala ahli kumpulan tersebut tinggal di sebuah unit lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai ahli sindiket itu ditahan semasa serbuan.

Siasatan yang dibuat mendedahkan mereka ini dipercayai adalah mangsa pemerdagangan orang.

"Mangsa ini dikatakan telah diperdaya untuk menjadi pengutip derma di sekitar daerah Kajang," katanya.

Fadzil berkata, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang  2007 kerana kesalahan pemerdagangan orang dan pemerdagangan kanak-kanak.

Oleh itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat dapat tampil membantu dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini.

Artikel Berikut

Cabutan Bertuah RM1 juta