SEREMBAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berpuas hati dengan perkembangan dan kemajuan terkini Pangkalan Udara Sendayan, yang kini memasuki fasa terakhir pembinaannya. Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perdana menteri mengadakan lawatan selama satu jam setengah, meninjau pembangunan di sekitar pangkalan udara itu, Khamis. Najib diiringi Hishammuddin, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan. "Beliau (Najib) secara peribadi cukup berpuas hati dengan apa yang dilakukan. Sebelum ini perdana menteri sering menjadi sasaran serangan tidak berasas pihak tertentu (mengenainya). "Bila perdana menteri melihat sendiri (pembangunan pangkalan udara Sendayan) hari ini, ia berbaloi untuk berdepan dengan kritikan yang dilemparkan. Bagi pihak perdana menteri, saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam pembangunan ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program lawatan perdana menteri ke Pangkalan Udara Sendayan di sini.Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang. Terdahulu perdana menteri mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin mengenai perkembangan terkini pembinaan Pangkalan Udara Sendayan. Beliau seterusnya menandatangani plak sebagai simbolik menamakan pangkalan udara itu sebagai Pangkalan Udara Sendayan, diikuti dengan acara menanam pokok di pangkalan udara berkenaaan. Najib kemudian dibawa meninjau fasiliti yang terdapat di pangsapuri kelas F pangkalan udara itu. Projek membangunkan Pangkalan Udara Sendayan, yang dimulakan pada 2013, dirancang untuk dijadikan pusat latihan iktisas atau profesional bagi melatih pegawai dan anggota dalam bidang logistik, pentadbiran dan pengurusan.