suria

Haram Caj Melampau Ke Atas Teh Tarik, Roti Canai - Ku Nan

Tengku Adnan Tengku Mansor.

SHAH ALAM: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegur pengusaha-pengusaha restoran mamak yang mengenakan caj melampau ke atas teh tarik dan roti canai.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, walaupun subsidi gula lebih awal dikurangkan sebanyak 34 sen perkilogram, beberapa restoran menaikkan harga secawan teh tarik sebanyak 50 sen.

"Adakah terdapat satu kilogram gula di dalamnya (secawan teh tarik)? Mengapa? 

"Begitu juga dengan tepung dan minyak masak. Mengapa harga sekeping roti canai naik mendadak?

"Jangan mencatut. Haram (dilarang)!" katanya pada mesyuarat agung tahunan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Sabtu.

"Kerana apabila anda melakukannya (mencatut), anda samalah seperti parti-parti pembangkang. Kita semua tahu tidak masuk akal apabila anda menaikkan 50 sen sedangkan harga gula hanya naik 20 sen.

"Perkara yang sama berlaku terhadap tepung, minyak masak dan lain-lain.

"Anda boleh menafikan dan mengatakan apa sahaja tetapi ingat, jangan menjual terlalu mahal kerana ia adalah haram," katanya.

Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai 'Ku Nan' berkata, ramai berdepan dengan cabaran untuk menjalani kehidupan sebagai warga kota dan pengusaha-pengusaha restoran pula menaikkan harga adalah seperti parti-parti pembangkang yang sering memberi gambaran buruk terhadap kerajaan.

"Saya menyeru pengusaha-pengusaha restoran bukan setakat tidak menjual terlalu mahal tetapi sebaliknya membantu kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain