suria

Anwar Fail Saman Mohon Dibebaskan Segera

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia bagi menuntut supaya dibebaskan daripada hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat.

Anwar selaku plaintif memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui peguam N. Surendran menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Melalui pernyataan tuntutannya, bekas Ketua Umum PKR itu mendakwa sabitan bersalah ke atasnya di Mahkamah Rayuan diperolehi melalui penipuan yang dilakukan ke atas Mahkamah Tinggi oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dakwanya lagi,  penipuan itu kemudiannya diteruskan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang mengakibatkan plaintif disabitkan tuduhan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 7 Mac 2014 dan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 10 Februari 2015 diketepikan atas sebab penipuan.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menuntut supaya dilepas dan dibebaskan, selain kos dan relif lain yang sesuai.

Sementara isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pemenjaraan ke atas suaminya yang tidak bersalah adalah satu kezaliman.

"Satu hari dipenjara adalah kezaliman kepada orang yang tidak bersalah. Atas dasar keadilan Anwar tidak patut berada dalam penjara kerana tidam bersalah," katanya.- Sinar Harian

Anwar Ibrahim, Mahkamah Tinggi

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan