suria

Tiada Sijil Halal Jakim Untuk 'Bir Halal'

GAMBAR FAIL

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan sehingga kini tiada sijil halal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk minuman ''bir halal'' atau mana-mana produk menggunakan nama menyerupai atau dikaitkan dengan perkara yang haram.

Menurut beliau, penggunaan nama bir halal bertentangan dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) dan Standard Malaysia (MS1500:2009) yang dijadikan asas kepada Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam pengurusan sijil halal.

"Dalam manual berkenaan, jelas dinyatakan bahawa produk yang menggunakan nama ataupun nama sinomin dengan produk tidak halal atau istilah yang mengelirukan seperti ham, bak kut teh, bakon, bir dan seumpama dengannya adalah tidak layak memohon sijil halal Malaysia.

"Makanan halal dan bahan perisa tiruan halal juga hendaklah tidak menggunakan nama atau nama sinonim dengan istilah yang mengelirukan merujuk kepada makanan tidak halal," katanya menjawab soalan Senator Khairiah Mohamed yang meminta kerajaan menyatakan senarai bir halal yang diluluskan dan berada di pasaran serta syarat penjualan bir halal.

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negara bermula Isnin dan berakhir pada 27 April ini.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata sesetengah minuman tersebut mendapat sijil halal daripada syarikat swasta atau badan persijilan halal luar negara, dan terdapat juga yang tidak menggunakan sebarang logo halal pada produk mereka.

"Perlu ditekankan di sini, Jakim dan JAIN adalah pihak berkuasa dalam persijilan halal Malaysia. Setiap permohonan sijil halal Malaysia perlu mematuhi MPPHM atau standard-standard keputusan fatwa dan peraturan yang berkaitan yang diguna pakai dalam urusan pensijilan halal Malaysia.

"Oleh itu, Jakim sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan minuman ini tidak menyalahgunakan logo halal Malaysia pada produk mereka," katanya menurut laporan Bernama.

Sebagai langkah menjaga kepentingan pengguna, Jamil Khir berkata tindakan undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang memperuntukkan hukuman sebanyak RM200,000 boleh digunakan jika sabit kesalahan kepada syarikat pengeluar produk tersebut sekiranya produk berkaitan didapati berada di pasaran yang menggunakan label dan tanda halal Malaysia.

Jamil Khir Baharom, Jakim

Artikel Berikut

Artikel Lain