suria

Ezam Pertahan Parti Generasi Baru

SHAH ALAM: Presiden Parti Bebas Rasuah (PBR), Datuk Ezam Mohd Nor menegaskan setiap keputusan dan tindakan yang dilakukan pihaknya adalah mengikut saluran undang-undang di bawah Akta Pendaftar Pertubuhan.

Menurutnya, sebagai pejuang anti rasuah, pihaknya tidak akan sesekali melanggar proses yang bercanggah dengan undang-undang serta tidak bermoral.

“Kami mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa dakwaan itu hanyalah berniat jahat dan tidak selesa kepada perjuangan khusus melawan rasuah di negara ini,” katanya dalam  kenyataan.

Sebelum ini, kepemimpinan asal Parti Generasi Baru (NewGen Party) mendakwa partinya telah dirampas oleh Ezam dan Timbalannya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dengan menukar nama parti itu kepada Parti Bebas Rasuah (PBR) seperti yang diumumkan awal bulan ini.

Selain itu, terdapat juga laporan polis dan aduan dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menjalankan siasatan lanjut berikutan pelanggaran perlembagaan parti dan undang-undang agensi itu.

Sehubungan itu, Ezam memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kepada ROS untuk membuat keputusan akhir mengenai dakwaan-dakwaan tersebut dan berjanji akan akur kepada sebarang keputusan yang dibuat.

“Perjuangan akan tetap diteruskan sama ada bersama parti Generasi Baru atau wadah lain kerana yang penting fokus kami untuk selamatkan Malaysia dari kehancuran pemimpin rasuah,” katanya.- Sinar Harian

Ezam, PBR

Artikel Sebelum

Artikel Lain