PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan masih menunggu keputusan ujian darah dua pelajar pra-sekolah di Sekolah Kebangsaan Sri Tasik di Cheras sebelum memutuskan sama ada mereka dijangkiti virus Influenza A (H1N1), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam. Dr Subramaniam berkata dua pelajar itu mengalami gejala demam, selesema serta batuk dan telah diasingkan daripada pelajar lain. "Setiap hari pun ada virus seperti H1N1 dan kebanyakan orang mendapat simptom-simptom seperti itu. "Cuma kumpulan berisiko tinggi seperti wanita mengandung dan warga emas yang mengalami gejala saluran pernafasan perlu lebih berhati-hati," katanya ketika ditanya mengenai berita yang tular di laman sosial yang menyatakan kelas pra-sekolah di Bandar Sri Permaisuri itu ditutup akibat jangkitan H1N1. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Malaysian Health Data Warehouse di sini, Selasa. Dr Subramaniam juga berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain tidak lagi memantau jangkitan H1N1 secara khusus kerana ia dikategorikan sebagai influenza bermusim. Justeru, katanya, orang ramai perlu tahu menjaga kebersihan diri dan segera berjumpa doktor jika mendapat selesema atau simptom yang berkaitan. "Mereka yang demam selesema juga diminta mengasingkan diri daripada orang ramai supaya penyakit ini tidak mudah merebak, serta menggunakan topeng dan membasuh tangan setiap kali bersin," katanya.