suria

Rusa Terlepas 'Mandi' Di Kolam Parlimen

KUALA LUMPUR: Parlimen pada Rabu menerima kunjungan ''pelawat'' luar biasa dan istimewa, terdiri daripada sekumpulan rusa yang secara tiba-tiba dilihat bermain-main di dalam kolam di perkarangan menara utama Parlimen, kira-kira pukul 11.45 pagi.

Seorang pengawal keselamatan di Parlimen yang hanya mahu dikenali sebagai Azwari berkata kira-kira tujuh ekor rusa daripada puluhan rusa yang dipelihara di Taman Rusa bersebelahan tempat letak kereta pelawat bangunan Parlimen itu, dipercayai terlepas dan memasuki perkarangan Parlimen ketika sesi persidangan Dewan Negara berlangsung.

"Tiga ekor rusa berkenaan masuk dan bermain-main di dalam kolam manakala beberapa ekor lagi berlegar-legar di kawasan berpagar berhampiran pintu masuk utama.

"Kesemua rusa berkenaan dapat ditangkap dan dimasukkan semula ke dalam kandang, kira-kira sejam kemudian, tanpa sebarang insiden yang tidak diingini," katanya.

Insiden itu turut menarik perhatian Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang berada di Parlimen bagi menghadiri sesi persidangan Dewan Negara pada Rabu.

Beliau turut memuat naik gambar seekor daripada rusa berkenaan dalam laman facebooknya, dengan status ''Hari ini kolam di Bangunan Parlimen dikejutkan dengan lawatan istimewa seekor rusa''.

Puluhan ekor rusa spesies Axis-axis yang dihadiahkan oleh bekas presiden Indonesia, Suharto kepada Parlimen Malaysia, ditempatkan di dalam kawasan lapang yang dijadikan Taman Rusa itu. - BERNAMA

Parlimen, rusa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain