PETALING JAYA: Bukit Aman mengulangi nasihat terhadap orang ramai supaya mengabaikan panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali dan mencurigakan dari luar negara bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan. Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) (Siber dan Siasatan Multimedia) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, panggilan tersebut tidak mendatangkan kecurian maklumat peribadi tetapi penerimanya mungkin berdepan risiko dikenakan caj balik (panggilan). "Kita sudah buat kajian dengan syarikat telco, kes kecurian maklumat menerusi panggilan tidak mungkin berlaku. "Jadi dakwaan kecurian maklumat tidak benar. Cuma apa yang kita bimbangkan adalah penerima akan dikenakan caj balik, itu yang bahaya," katanya ketika dihubungi mStar Online. Bagaimanapun Mohd Kamaruddin berkata, kes kecurian maklumat hanya akan berlaku jika sejenis virus atau malware dihantar ke telefon bimbit mangsa atau telefon tersebut digodam. "Kalau malware yang dihantar ke telefon bimbit kita klik, jadi ia akan bertindak mencuri maklumat kita. Tapi kalau setakat jawab panggilan itu tak ada masalah," katanya. Jelas beliau, setakat ini tiada laporan polis diterima membabitkan kes tersebut. "Setakat ini tiada laporan yang kita terima. Namun kita sedia maklum bahawa mereka yang terima panggilan ini berkongsi maklumat mengenainya dengan rakan-rakan lain dalam akplikasi WhatsApp. Mereka saling menasihati antara satu sama lain supaya jangan angkat panggilan itu," katanya. Tegas beliau, mangsa masih boleh membuat laporan polis tetapi tiada apa-apa yang dilakukan kerana panggilan tersebut dibuat dari luar negara. "Namun, saya minta orang ramai supaya lebih berhati-hati pada zaman dunia digital yang penuh mencabar pada hari ini. Kalau panggilan dari luar negara yang kita tak kenal janganlah angkat, kita kena fikir logik," katanya. Baru-baru ini orang ramai mengadu menerima panggilan daripada nombor yang mencurigakan antaranya nombor yang bermula dengan pangkal +960, +373, +216, +795, +324 yang dikatakan panggilan dari luar negara. Kebanyakan nombor panggilan itu dikongsi orang ramai menerusi laman Facebook.