SEREMBAN: Penggunaan tayar celup yang mendapat pengesahan daripada pihak SIRIM adalah tayar celup yang berkualiti dan selamat untuk digunakan. Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron berkata kewujudan tayar celup tanpa pengesahan daripada pihak SIRIM yang dikeluarkan syarikat yang tidak berlesen adalah berisiko tinggi mendatangkan kemalangan. "Tayar celup ini adalah satu industri yang dilesenkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan sebagainya, di luar negara pun ada penggunaan tayar celup. "Tetapi kita kena ingat, kena guna tayar celup yang berkualiti dan mesti disahkan oleh SIRIM kerana pengiktirafannya perlu melalui ujian di makmal dan sebagainya sebelum sijil pengesahan dikeluarkan. "Bagaimanapun penggunaan tayar celup yang berisiko adalah tayar celup yang dihasilkan dari syarikat yang tidak berlesen. Tayar ini tidak mengikut kaedah dan peraturan yang ditetapkan oleh SIRIM, inilah punca kemalangan kerana tayar cepat meletup dan sebatian getah mudah terkeluar," katanya kepada pemberita pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ Zon Selatan di sini, Khamis. Beliau berkata demikian mengulas mengenai kekeliruan orang ramai terhadap status penggunaan tayar celup di negara ini. Nadzri berkata justeru, kami memohon kerjasama daripada agensi lain antaranya KPDNKK dan Lembaga Getah dalam memastikan pengeluaran tayar celup mengikut spesifikasi. Dalam perkembangan lain, Nadzri berkata hukuman dan denda terhadap pemandu kereta atau penunggang motosikal di bawah pengaruh dadah sehingga meragut nyawa, akan dilihat semula. "Walaupun kes seperti ini masih tidak membimbangkan memandangkan statistik menunjukkan 60 peratus punca kemalangan adalah melibatkan had laju serta penunggang dan pembonceng motosikal, namun ia harus diambil serius juga. "Tetapi kami lebih bimbang jika ia melibatkan pemandu bas atau teksi kerana mereka membawa ramai penumpang," katanya. Mengenai sistem mata demerit, Nadzri berkata ia dilaksanakan bukan semata-mata untuk menghukum tetapi untuk mendidik dan tidak mahu wujudnya lebih ramai pemandu tegar yang melakukan kesalahan jalan raya berulang-ulang. "Sebelum ada sistem ini orang kata kami tidak tegas, jadi kami laksana sistem seperti ini yang dilihat lebih tegas dan berkesan. "Maklum balas daripada orang ramai akan dilihat juga nanti dan mungkin akan dipertimbangkan jika kami buat kajian semula nanti," katanya.-Bernama