suria

Pemberian Mata Demerit Tidak Libatkan Langgar Lampu Kuning - JPJ

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan isu yang tular di media sosial baru-baru ini bahawa pemandu yang melanggar lampu isyarat kuning akan dikenakan mata demerit.

Jabatan itu dalam kenyataan pada Jumaat berkata Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) hanya melibatkan kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju.

Selain itu, JPJ turut menafikan bahawa 400 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dipasang di seluruh negara.

Menurutnya setakat ini, terdapat 14 kamera AES telah dipasang di seluruh Semenanjung Malaysia dan hanya akan menambah pemasangan kamera ini dari semasa ke semasa.

"JPJ ingin menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sebarang mesej melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp yang tidak mempunyai sumber sah," katanya.

JPJ juga menasihatkan orang ramai untuk terus merujuk kepada jabatan itu sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan tidak turut serta menyebarkan salah faham tersebut.

Baru-baru ini satu rakaman suara seorang lelaki tular di media sosial mengatakan pemandu yang melanggar lampu isyarat kuning akan dikenakan mata demerit dan juga pemasangan 400 kamera AES.

Mulai 15 April lepas, kerajaan melaksanakan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) yang menggabungkan AES dan Kejara. - BERNAMA

mata demerit, lampu kuning, JPJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain