suria

‘Nama Orang Melayu Susah’

KAREMA berharap tulisan jawi dapat dipelajari oleh semua orang tanpa mengira latar belakang.

BILA sebut sahaja tentang rakyat China, automatik kepala akan memikirkan individu berkenaan mesti mahir dalam seni Kaligrafi Cina.

Namun, ia berbeza dengan Karema Hui,22, remaja asal wilayah Henan, China ini.

Dia lebih mahir menulis jawi berbanding menguasai Kaligrafi Cina yang menjadi kebanggaan rakyat di negaranya.

Menurutnya, sebagai seorang individu yang beragama Islam dia memang berminat dengan seni khat ini, namun ia agak terbatas kerana seni berkenaan kurang digunakan di negaranya.

Bagaimanapun, katanya, tinggal di Malaysia membolehkannya meneruskan bakat dan minatnya untuk mendalami seni berkenaan.   

“Ketika mula-mula datang Malaysia, ramai kenalan di sini menyuruh saya menulis nama masing-masing dalam Kaligrafi Cina tapi ramai agak terkejut apabila saya beritahu kurang mahir dalam tulisan berkenaan.

“Malah, mereka juga tidak percaya yang saya pandai tulis jawi termasuklah tulisan khat yang saya pelajari di negara Turki beberapa tahun sebelum saya datang ke Malaysia.

“Dari situlah saya bertambah minat dengan tulisan jawi dan seni khat ini, sehingga saya kini menjadi pengajar kepada rakan-rakan Melayu selain beberapa rakan yang berasal dari negara China,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, bakatnya kini semakin dihargai apabila Persatuan Cina Mualaf Batu Pahat sering menjemputnya mengadakan demonstrasi tulisan jawi dan seni khat kepada Cina Muslim yang mahu mendalaminya.

Walaupun sedia mahir dengan bakat yang dimilikinya itu, namun Karema juga tidak terlepas berdepan dengan cabaran.

Salah satunya ialah ketika menulis nama orang Melayu kerana ejaannya berbeza dengan ejaan Arab.

“Saya akui menulis untuk tulisan khat bagi nama orang Melayu ini agak sukar kerana mereka mempunyai huruf mereka sendiri (jawi) selain nama mereka juga adalah gabungan nama Arab dan Jawa.

Contohnya macam ‘cha’ yang seperti huruf ‘jim’ tetapi mempunyai tiga titik, huruf ‘nya’ yang seperti huruf ‘nun’ tetapi mempunyai tiga titik dan beberapa lagi huruf yang lain.

“Nama-nama Melayu ini juga mempunyai keunikannya yang tersendiri dan kita akan keliru untuk menggunakan huruf apa, sebagai contoh nama yang mempunyai ‘K’ awalannya dalam tulisan rumi, kita akan keliru untuk menggunakan ‘kaf’ atau ‘qaf’,” katanya.

Katanya lagi, antara nama Melayu yang  sukar ditulis ialah Shahizatul, Fatin serta Zafuan dan Karema juga mengakui nama orang Melayu agak panjang berbanding nama individu dari negara lain.

Lebih lima tahun tinggal di Malaysia, Karema mengharapkan kegemilangan tulisan berkenaan di negara ini dapat dikembalikan dan diteruskan penggunannya.

Berdasarkan pengetahuannya, Karema berkata, tulisan Jawi ini digunakan secara meluas di Nusantara dan setiap mereka yang ingin berurusan di Tanah Melayu ini perlulah mahir membaca dan menulis dalam tulisan Jawi.

“Jika dahulu mereka boleh menggunakannya, mengapa kini kita tidak menggunakannya lagi. Saya juga berharap tidak hanya orang Melayu dan mereka yang beragama Islam sahaja tahu tulisan ini. Semua rakan-rakan tanpa mengira asal keturunan juga perlu tahu atau sekurang-kurangnya membacanya.

“Atas sebab itulah saya ingin terus mengajar rakan-rakan belajar tulisan yang merupakan identiti Malaysia sebenarnya, selain menghalusinya dengan seni tulisan khat yang menggabungkan seni Arab, kaligrafi China dan Jawi,” katanya.

Sementara itu, kenalan Karema, Muhammad Ridhuan Tew Abdullah@Awie,30, berkata. dia sendiri kagum dengan kebolehan Karema sementelah pula dia sendiri kurang arif dengan tulisan Jawi ini.

“Saya setuju dengan pandangan Karema yang mahukan tulisan Jawi dan seni khat ini perlu dipopularkan kembali selain menjadi kemestian untuk setiap individu tahu membacanya.

“Negara kita ini unik kerana hidup dalam pelbagai bangsa dan mengapa kita tidak mempelajari semua yang ada di negara ini,” katanya.

Karema Hui

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain