suria

Tiada Pelajar Terlibat Kongsi Gelap Di Terengganu - Pengarah

Insiden kekecohan yang melibatkan pelajar sekolah di Klang menjadi tular.

KUALA TERENGGANU: Tiada pelajar di Terengganu yang terlibat dalam mana-mana kumpulan kongsi gelap atau gangsterism setakat ini, demikian tegas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin.

Beliau berkata setakat ini, jabatan tidak pernah menerima laporan berhubung penglibatan pelajar Terengganu dalam kumpulan kongsi gelap.

"Kesalahan yang dilakukan pelajar Terengganu setakat ini hanya berkaitan masalah disiplin  dan ia masih dalam keadaan yang sangat terkawal.

"Peranan guru disiplin dan guru kaunselor di semua sekolah di Terengganu setakat ini berjaya mengekang aktiviti seumpama itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang STEM Exxonmobil 2016 yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, Bazlan Abdul Rahman, Ahad.

Mengulas lanjut, Shafruddin berkata pihak sekolah sentiasa proaktif dan setiap kesalahan pelajar akan direkodkan seterusnya diberi kaunseling agar perkara itu tidak terus berulang.

"JPNT sangat peka dengan perkara seperti ini, sebab itu semua kesalahan pelajar akan direkodkan oleh guru disiplin dan guru kaunselor pula memastikan pelajar tersebut tidak tersasar jauh dari matlamat sebenar mereka sebagai pelajar.

"Secara tidak langsung masalah disiplin di Terengganu akan terkawal begitu juga penglibatan murid-murid dalam kegiatan gangsterisme, setakat ini tak pernah lagi berlaku perkara yang melibatkan gangsterisme secara besar-besaran di negeri ini,” katanya.

Hubungan rapat antara sekolah, ibu bapa, komuniti setempat serta pelajar juga sentiasa dipupuk untuk mengelak kegiatan seperti itu dan bersama-sama memfokuskan kejayaan pelajar dalam pelbagai bidang akademik, sukan dan kokurikulum, katanya.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain