suria

Budak Perempuan 12 Tahun Cedera Terkena Peluru Pemburu Burung

ALOR SETAR: Seorang pelajar perempuan tahun enam cedera di beberapa anggota badan selepas terkena 13 butir peluru penabur yang dilepaskan seorang penduduk berdekatan secara tidak sengaja di rumahnya di Kampung Lubuk Keriang, Mukim Lesong, Langgar, di sini Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika Nur Syahida Bakar, 12, bersama bapa, ibu dan dua adiknya sedang makan di bahagian dapur rumah dengan keadaan pintu dapur rumah yang terbuka.

"Ketika keluarga ini sedang makan, tiba-tiba bunyi letupan menyebabkan bapa mangsa Bakar Saad, 45, membuat pemeriksaan sebelum mendapati butiran peluru bertaburan di atas peti sejuk dan anak perempuannya berusia 12 tahun cedera di beberapa anggota badan.

"Tidak lama kemudian, datang dua orang lelaki yang tinggal berhampiran rumah mangsa bersama sepucuk senapang memohon maaf kerana tersalah sasaran, niat asal mereka untuk menembak burung tetapi tersalah sasaran," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata bapa pelajar berkenaan yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Setar.

Hasil siasatan polis mendapati, 13 butir peluru terkena pada seluruh anggota badan iaitu empat butir pada bahagian dada, dua butir masing-masing di bahagian kepala, bahu kanan, betis kanan, dan satu butir masing-masing di bahagian paha, betis kiri serta kanan.

Mohd Rozi berkata kanak-kanak itu dirawat Hospital Sultanah Bahiyah di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ekoran kejadian, polis menahan tiga lelaki termasuk pemilik senapang berusia 74 tahun, seorang lelaki yang melepaskan tembakan berusia 52 tahun dan rakannya berusia 46 tahun untuk siasatan lanjut selain merampas sepucuk senapang jenis Short Gun Topper 12 bore yang mempunyai lesen yang sah.

Beliau berkata pemilik senjata api berusia 74 tahun itu bagaimanapun dibebaskan kerana faktor usia selain tidak terlibat dalam kejadian tembakan serta tidak mengetahui yang anaknya telah mengambil senapangnya itu sebelum ini.

Mohd Rozi menasihatkan pemilik senjata yang sah supaya menyimpan senjata mereka dengan rapi bagi mengelak digunakan hingga membahayakan orang lain. -Bernama

pemburu burung, pemburu, Nur Syahida

Artikel Sebelum

Profil Sultan Muhammad V

Artikel Berikut

Artikel Lain