suria

Pesakit Jantung Syukur Bantuan Tiba Tepat Masanya

Nisanthiny (tiga, kiri) bersama sebahagian ahli keluarganya.

PETALING JAYA: B. Nisanthiny baru berusia 18 bulan apabila dia disahkan menghidap penyakit jantung 'cyanotic' yang kompleks.

Doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada masa itu mengganggap pembedahan tidak dapat dilakukan ke atasnya kerana dia lewat dibawa ke hospital.

Kini pada usia 22 tahun, keadaannya bertambah teruk pada Februari, membawa ke tahap di mana dia tidak dapat berjalan walaupun pada jarak dekat.

Nisanthiny sedang membantu ibunya, seorang pekerja kilang melakukan beberapa kerja-kerja rumah apabila dia tiba-tiba pening dan sesak nafas.

Ujian ekokardiogram di PPUM mengesahkan bahawa komunikasi interatrial pada jantungnya 'sangat sempit' dan telah mengganggu fungsi jantungnya.

Doktor berkata dia perlu menjalani prosedur pembedahan dengan segera untuk menyelamatkan nyawanya.

"Doktor bertanya kepada saya sama ada kami mempunyai wang untuk prosedur itu dan saya memberitahunya bahawa kami tiada wang.

"Tetapi doktor kata jangan bimbang, hospital akan cuba membantu," kata ibunya A. Amutha, 54, yang suaminya K. Batumalay, 53, bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Rumah setingkat yang didiami mereka di Kampung Baru Sungai Rasau, Puchong, turut dikongsi oleh tiga keluarga atau 14 penghuni.

PPUM segera mendekati Star Foundation, cabang amal bantuan kewangan Star Media Group, pada 21 Februari lalu.

"Tanpa prosedur itu, dia mungkin akan bertahan hanya beberapa bulan, tidak lebih dari satu tahun," kata perunding pediatrik kardiologi dan Ketua Unit Pediatrik Kardiologi PPUM Dr Ang Hak Lee.

Tetapi dengan pembedahan itu katanya, dia dapat meneruskan hidup sehingga 40 tahun atau lebih, dengan syarat tiada komplikasi, katanya.

Pada 16 Mac, doktor berjaya melakukan prosedur atrioseptostomy ke atas Nisanthiny.

Pakar pediatrik kardiologi telah membuka komunikasi interatrial yang lebih luas dengan kaedah Transkateter dan mengekalkannya menggunakan pengatur aliran atrium (AFR).

Dengan kelulusan Kementerian Kesihatan, ia juga menandakan kali pertama peranti itu digunakan di Malaysia.

Star Foundation membiayai keseluruhan perbelanjaan prosedur, di mana kos keseluruhannya mencecah RM20,500.

Nisanthiny, yang kini mendapati dirinya lebih mudah melakukan rutin harian berkata dia gembira dengan rawatan yang diterimanya selain dapat terus bersama keluarga.

"Saya suka buat kek dan juga suka menjahit," kata lepasan SPM itu apabila ditanya mengenai rancangan masa depannya.

Ibu saudaranya P. Pathma Devi, 45, berkata seluruh keluarga amat bersyukur kerana keadaan 'Nisha' kini lebih baik dan memuji Star Foundation yang sudi menghulurkan bantuan.

Star Foundation ialah cabang amal Star Media Group bertujuan mengumpul, menerima dan mentadbir dana untuk keadaan tertentu.

Program Tabung Perubatan Star Foundation menawarkan bantuan buat mereka yang memerlukan rawatan perubatan segera, terutama melibatkan kos yang besar.

Untuk maklumat lanjut hubungi [email protected].

sakit jantung, Star Foundation, PPUM

Artikel Lain