suria

Ahli Perniagaan Dakwa Dikasari Pegawai Perhilitan

Lim menunjukkan dia digari dalam serbuan di rumah ladangnya, baru-baru ini.

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan mendakwa dia cedera dalam "serangan hendap" pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor di rumah ladangnya.

Lelaki berusia 55 tahun itu dikenali sebagai Gary Lim membuat laporan polis, mendakwa digari dan ditolak ke tanah dalam insiden pada Jumaat lalu.

Lim berkata, dia cedera di bahagian muka, bahu dan kaki.

Menurut Lim, dia ditahan apabila beberapa kenderaan pacuan empat roda memasuki kawasan rumah ladangnya di Kampung Sungai Kamin, Ulu Yam.

Lim mendakwa lebih 10 anggota beruniform dan berpakaian biasa memperkenalkan diri dari Perhilitan.

Katanya, mereka berang apabila diminta dokumen penguatkuasa mereka untuk mengesahkan kehadiran mereka di kawasannya.

"Saya serta-merta digari oleh salah seorang pegawai dan ditolak ke tanah.

"Saya mengalami hidung berdarah dan lebam di lutut kiri dan bahan kanan akibat terjatuh," katanya kepada The Star pada Selasa.

"Saya kesakitan tetapi mereka tidak mahu membantu saya. Mereka datang merampas beberapa haiwan peliharaan di rumah ladang saya.

"Beberapa haiwan peliharaan termasuk empat kura-kura, lima iguana biru, seekor 'sugar' dan seekor 'gecko' (cicak) dirampas.

"Saya percaya tindakan itu menyalahi undang-undang kerana saya mempunyai permit menyimpan mereka," katanya sambil menambah dia mendapatkan kesemua haiwan dari kedai haiwan perliharaan.

Selain haiwan perliharaan, Lim mendakwa salah satu daripada telefon bimbitnya turut dirampas.

Menurut Lim, pegawai terbabit membawa dia ke Balai Polis Ulu Yam Baru di mana laporan polis dibuat mengenai senarai haiwan perliharaan yang dirampas dari rumah ladangnya.

Selepas dibebaskan, Lim kemudiannya membuat laporan polis mengenai pegawai terbabit di balai polis yang sama.

Seorang pegawai Perhilitan mengesahkan terdapat serbuan dijalankan di sebuah ladang di Ulu Yam minggu lalu.

Pegawai itu berkata, serbuan dijalankan berikutan hasil maklumat orang awam mengenai spesis yang dilindungi disimpan di premis berkenaan.

"Di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, pegawai penguatkuasa Perhilitan diberi kuasa untuk menahan mana-mana individu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah akta.

"Kes tersebut disiasat di bawah akta dan undang-undang berkaitan," menurut pegawai itu.

Artikel Lain