suria

Annuar Musa Dakwa Tak Terlibat

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa mendakwa beliau tidak terlibat atau memberi arahan dalam proses rundingan dan  keputusan berhubung pakej pengiklanan dan pemasaran antara Mara dan The Red Warrior (TRW).

Kata Annuar, proses melibatkan pasukan bola sepak Kelantan itu dilakukan menerusi anak syarikatnya Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Malahan, jelas Ahli Parlimen Ketereh itu, proses tersebut dilakukan pihak pentadbiran Mara tanpa melibatkan arahan beliau.

"Saya tak terlibat dalam membuat keputusan, perundingan atau mengarah jauh sekali. Dakwaan dalam Facebook gunakan dana pendidikan untuk isu tajaan itu fitnah kotor," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada Jawatankuasa Audit Dalaman Mara di sini Rabu.

Annuar memberi keterangan selama sejam bermula pukul 11 pagi Selasa di hadapan Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman Mara,Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin.

Tegas Annuar, pelaburan Mara kepada TRW sebenarnya bukan berbentuk tajaan, sebaliknya pakej komersial untuk tujuan pemasaran dan pengiklanan.

"TRW tak ditaja tapi mereka dah buat pakej komersial selama 10 tahun berbeza dengan pasukan lain yang dibantu kerajaan negeri," katanya.

Pada masa sama, Annuar berkata, beliau hanya meluluskan peruntukan untuk tujuan penjenamaan dan pengiklanan Mara.

"Saya tak pernah arahkan sesiapa dalam Mara guna dana Mara. UniKL guna bajet pemasaran mereka dan rundingan ada hitam putih," katanya.

Annuar yang sedang direhatkan sebagai Pengerusi Mara mengakui harga pakej komersial yang dilaburkan Mara menerusi PMB pada jersi TRW sebanyak RM200,000 adalah jauh lebih rendah berbanding harga asal bernilai RM700,000.

"Ia rundingan antara pihak pentadbiran di mana saya tidak terlibat. Ya memang berlaku pakej komersial itu ditawar pada harga jauh lebih rendah.

"Saya tahu ia tidak adil untuk syarikat lain. Tapi saya tak masuk campur. Ia dilakukan kerana Mara ada kaitan dengan kerajaan, tak apa tak bayar penuh," katanya.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Mara melalui Pelaburan Mara Berhad dan UniKL menyalurkan dana kepada TRW.

Menerusi kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis, TMJ  turut memuat naik beberapa gambar-gambar surat permohonan tajaan daripada TRW kepada Pelaburan Mara dan UniKL, baucar pembayaran dan slip deposit cek yang dibayar kepada TRW pada 2016.


Annuar Musa, Ketereh, Mara, TRW

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain