JOHOR BAHRU: Pelajar sekolah agama berusia 11 tahun yang kakinya telah dipotong mula menanggung penderitaan pada bulan lepas dan telah menulis keluhannya dalam diari. Ibu saudaranya, Dzuraidah Ahmad, 38, berkata Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi sebelum ini mengadu sering dipukul oleh seorang pembantu warden seperti yang dilaporkan. "Anak saudara saya beritahu kadang-kadang dia dan rakan-rakannya secara sukarela menawarkan diri menjadi orang pertama dipukul kerana mereka mahu tidur awal disebabkan terpaksa bangun pada pukul 3 pagi untuk solat," dakwanya. Dzuraidah berkata keluarganya telah terjumpa diari kanak-kanak itu, di mana dia telah menulis tentang kesakitan yang terpaksa ditanggung. "Dia menulis dipukul tanpa sebab dan sudah tidak mampu bertahan dengan apa yang berlaku, dia mahu berpindah ke sekolah lain," kata Dzuraidah di Hospital Sultan Ismail di sini, Isnin. Dalam satu entri, pelajar itu menulis bahawa punggungnya telah dipukul selepas pembantu warden menyuruhnya mencuci beberapa biji cawan. "Ya Allah, bukakanlah pintu hati ibu bapaku untuk membenarkanku berpindah ke sekolah lain kerana aku sudah tidak tahan lagi. Tolonglah Ya Allah, semoga permintaanku ini dimakbulkan," demikian apa yang ditulis olehnya. Menurut seorang lagi ibu saudaranya, Nurul Nabila Ahmad, 30, keadaan kanak-kanak itu bertambah teruk apabila terdapat darah beku di bahu kirinya. "Pada mulanya kami menyangka keadaannya semakin baik, kerana tangan kanannya perlahan-lahan kembali ke warna asal, tetapi pada Ahad, kami kecewa dengan berita darah beku di bahunya," katanya. Doktor telah memberikan ubat penipisan darah kepada anak saudaranya. Budak lelaki itu juga menjalani dialisis disebabkan kegagalan buah pinggang, tetapi Nurul Nabila berkata dia masih dalam keadaan koma dan kritikal. Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Abd Mutalip Abd Rahim berkata pemeriksaan menunjukkan sekolah agama swasta ini adalah salah sebuah institusi yang terkemuka di negeri ini. Dilaporkan murid berkenaan didakwa dipukul oleh pembantu warden di sebuah sekolah tahfiz di Kampung Lukut, Kota Tinggi di sini. Mangsa yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik mengalami demam selepas lembam dan bengkak mula kelihatan pada kedua kakinya akibat jangkitan kuman. Doktor terpaksa memotong kedua kakinya bagi mengelakkan kuman itu daripada merebak.