suria

Suami 'Kenakan' Isteri, Tapi Tambang Tetap Kena Bayar

Gambar pasangan suami isteri, Ojie dan Azrul yang menjadi tular baru-baru ini.

PETALING JAYA: Seorang pemandu wanita Uber yang menjadi tular baru-baru ini berkongsi kisah suaminya menempah khidmat pengangkutan yang ditawarkan bagi membalas gurauannya sebelum ini.

Bercakap kepada mStar Online, Rozeeta Abdul Manan, 32, berkata, dia pernah bergurau apabila secara sengaja duduk di belakang semasa menaiki kereta yang dipandu suami.

"Suami tanya kenapa saya duduk di belakang, saya kata nak duduk di belakang, nak rasa jadi bos, orang kaya bila naik kereta ada pemandu sendiri.

"Sekarang ini giliran suami pula 'kenakan' saya bila dia duduk di belakang semasa saya bawa Uber. Geram betul," katanya secara berseloroh.

Rozeeta atau lebih dikenali sebagai Ojie menjadi bualan netizen apabila berkongsi pengalamannya yang melucukan apabila penumpang Uber yang dibawa adalah suaminya.

Ojie yang menjadi pemandu Uber separuh masa sejak akhir tahun lalu bagaimanapun menjelaskan dia sebenarnya tidak menyedari suami sendiri yang membuat tempahan bagi perkhidmatan itu pada hari kejadian.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, dia menggunakan telefon kedua untuk perkhidmatan Uber dan tidak menyimpan nombor telefon suami di dalam telefon tersebut.

"Saya pula kebiasaannya tidak meneliti profil atau nombor telefon pelanggan, jadi saya yang baru sahaja keluar dari perumahan di Setia Alam berpatah balik untuk mengambil penumpang.

"Saya hanya 'call' kalau lebih dari lima minit tunggu. Tapi 'penumpang' itu segera datang ke kereta saya... rupa-rupanya suami sendiri.

"Saya suruh suami duduk di depan sebelah saya, tapi dia tak nak. Dia nak rasa pengalaman menjadi penumpang Uber. Saya layankan saja," katanya yang tidak menyangka kisah Uber yang dikongsikan di media sosial menjadi perhatian ramai.

Ojie dan suami, Azrul Helmi Ibrahim, 34, berkata, apa yang berlaku bukannya lakonan dan mengakui mereka berdua sering bergurau antara satu sama lain.

"Suami memang buat tempahan Uber hari itu dan dia memang kena bayar selepas sampai ke Kuala Lumpur dari Setia Alam," katanya.

Azrul yang merupakan artis grafiti memberitahu, dia berpuas hati dapat mengenakan gurauan 'balas' kepada isterinya.

Sementara itu, Ojie berkata: "Sukalah suami 'kenakan' saya. Sekarang ini ramai pula yang kata muka suami comel dalam gambar tular itu. Sukalah dia bila kena puji.

Sejak kisahnya menjadi tular, Ojie menerima banyak maklum balas daripada netizen terutama wanita yang mahu mengambil khidmatnya sebagai pemandu Uber.

"Mereka kata tak sangka ada pemandu Uber wanita sebab biasanya lelaki. Mereka lebih selamat dan selesa kalau naik Uber yang dipandu wanita.

"Ada juga wanita yang bertanyakan bagaimana menjadi pemandu Uber untuk mencari sumber pendapatan. Mereka ingatkan lelaki saja boleh jadi pemandu Uber," katanya.

Menurut Ojie, dia ada mengemukakan cadangan kepada Uber berkaitan dengan pemandu dan penumpang wanita.

"Saya tanya adakah Uber boleh mewujudkan kumpulan pemandu wanita untuk keselesaan dan keselamatan penumpang wanita.

"Bagaimanapun setakat ini saya belum dapat maklum balas  Uber. Saya harap Uber dapat mempertimbangkan cadangan ini," katanya sambil menambah dia sedia memberi kerjasama kepada Uber dalam merealisasikan cadangan itu demi kebaikan pemandu dan pengguna wanita.

Ojie, Uber

Artikel Lain